Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.
Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)
Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.
Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-Nya. Dan doa adalah “medium” perhubungan itu.
Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap hinggalah tidur semula…semuanya ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri pun, mesti dimulakan dengan doa.
Itulah uniknya Islam berbanding dengan agama-agama yang lain. Ajaran Islam begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipandang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.
Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang “melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang ditegaskan dalam surah al-Fatihah.
Para rasul dan nabi juga mendidik umatnya dengan doa. Nabi Muhammad s.a.w. khususnya, telah mengajar kita untuk berdoa pada setiap masa dan ketika. Tradisi itu diteruskan lagi oleh para sahabat, tabiin, tabi‘ al-tabiin dan generasi salafussoleh. Alhasil, khazanah doa sentiasa bertambah daripada satu zaman ke satu zaman.
Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:
1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa
Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama layang-layang putus tali yang akan dihanyutkan oleh gelombang hidup tanpa arah tuju yang pasti.
Doa jua sebenarnya adalah zikir – yakni interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingati-Nya kerana dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Dan ketenangan itulah hakikatnya sebuah kebahagiaan. Demikian yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah al-Ra‘d 13: 28)
Jelas di sini, orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stres yang melampau dan kemurungan dalam hidup. Hal ini kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah apatah lagi apabila dia memerlukan pertolongan. Terbukti hasil kajian dan pemerhatian sejak zaman berzaman, orang yang kuat beragama jarang sakit jiwa apatah lagi membunuh diri. Apa yang agama telah beri sehingga mereka berani menghadapi hidup ini? Ya, doa!
2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan
Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia. Oleh sebab itu, manusia perlu sentiasa berubah –daripada kurang baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurnia-Nya.” (Surah al-Syura 42: 26)
Doa adalah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Doa itu harapan. Manakala usaha adalah langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insya-Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.
3. Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan
Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang mengiringi dan mendampingi kita. Apabila kita makan tanpa berdoa misalnya, syaitan akan menumpang makan bersama kita. Akibatnya, makanan yang kita makan akan hilang keberkatannya. Tenaga yang diperoleh daripada makanan itu akan terarah kepada kejahatan dan menjadi sebab kita terjerumus ke neraka.
Syaitan akan menghasut dengan menimbulkan berapa keraguan, ketakutan, kerakusan dan lain-lain rasa yang negatif dalam hati. Inilah punca kejahatan, kegelisahan dan kegagalan dalam kehidupan seseorang. Syaitan umpama virus pada hati manusia. Jadi, hanya dengan mengingati Allah menerusi doa kita mampu menghalau syaitan yang sentiasa ingin mendampingi kita.
Sebaliknya jika kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita. Malaikat akan dekat kepada orang yang dekat dengan Allah. Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya. Oleh sebab itu berdoalah, insya-Allah malaikat akan hampir, syaitan pula akan meminggir!
4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas
Doa secara tidak langsung menyebabkan kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan. Apa sebenarnya masalah kita? Inilah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Sedangkan mereka tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.
Doa telah menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan. Begitu yang ditegaskan oleh pakar-pakar psikologi. Dengan berdoa, masalah yang asalnya kabur dan samar menjadi jelas dan terang. Doa adalah seperti menulis masalah kita di atas kertas. Bukankah dengan berdoa hakikatnya kita “berkata-kata” dengan Allah.
Jadi, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata yang kita gunakan semasa itu seperti membentangkan masalah kita secara tidak langsung. Ini akan memberi kelegaan, malah masalah yang dinyatakan dengan terang itu sudah menjadi separuh selesai!
5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan
Menurut pakar psikologi, tidak ramai manusia yang begitu kuat sehingga mampu menanggung masalah paling sulit dan perit secara bersendirian. Ada kalanya kita sangat memerlukan insan lain untuk berkongsi rasa dengan kita. Malah dalam keadaan itu adalah lebih baik untuk menceritakan kepada orang lain akan masalah itu.
Namun ada kalanya masalah kita terlalu personal yang kita rasa malu atau enggan untuk diceritakan kepada orang lain. Kadangkala kebimbangan kita terlalu tinggi sehingga tidak dapat berbincang pun dengan saudara-saudara atau sahabat-sahabat terapat. Pada ketika itu kepada siapa kita hendak mengadu?
Ya, sudah pasti kepada Allah. Berdoalah, Allah sentiasa sedia dan setia untuk mendengarnya. Firman Allah yang bermaksud: “Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
Berdoa memberikan kita rasa “tidak bersendirian” dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup. Malah kita akan berasa keberadaan Allah bersama kita untuk berdepan dengan apa jua masalah. Benarlah kata pujangga Profesor Dr. Hamka, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!” Maksudnya, apabila manusia tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa dekat untuk mendengar segala rintihan dan harapan.
6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha
Doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa kita untuk bertindak. Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana kuasa dalam diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat untuk meledakkan tindakan.
Terdapat saintis menyatakan bahawa doa juga adalah sejenis tenaga. Iaitu sejenis tenaga yang boleh dihasilkan dari dalam diri seseorang hasil berhubung dengan yang Maha Kuasa. Inilah hikmah mengapa Allah menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.
Semasa berdoa seorang manusia akan meningkatkan keupayaan tenaga mereka yang terhad dengan menyerahkan diri kepada sumber tenaga yang tidak terhad. Interaksi dan komunikasi kepada sumber tenaga yang Maha Hebat ini akan meledakkan satu kuasa yang sangat kuat. Inilah sumber tenaga dan kuasa yang dimiliki oleh para Rasul apabila berdepan dengan kuasa-kuasa besar yang menghalang kebenaran yang hendak disampaikan kepada umat mereka.
Dengan kuasa Allah impak daripada doa-doa mereka, Namrud, Firaun, Kafir Quraisy yang punya kuasa, harta dan senjata tewas apabila berdepan dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Doa adalah antara faktor kejayaan itu. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya yang bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Riwayat al-Hakim no. 1218)
Walaupun doa itu satu senjata, tetapi jarang sekali digunakan untuk memusnahkan musuh. Sebaliknya ketika berdepan dengan kaumnya, seseorang Rasul sentiasa mendoakan agar kaumnya mendapat hidayah dan taufik daripada Allah, bukan doa menghancurkan mereka. Di Taif umpamanya, setelah Nabi Muhammad s.a.w. diusir dan dilukai, Baginda telah berdoa untuk mendapat hasil jangka panjang (yakni taufik dan hidayah kepada zuriat penduduk Taif pada masa akan datang). Baginda menolak tawaran malaikat memberikan hasil yang “instant” iaitu dihempap gunung ke atas penduduk Taif.
7. Menghindar daripada Penyakit Fizikal
Doa bukan sahaja mampu menyihatkan hati tetapi juga menyihatkan fizikal kita. Sains perubatan berjaya memusnahkan penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus yang telah membunuh berjuta-juta manusia. Tetapi sains perubatan tidak berjaya melawan kemusnahan minda dan fizikal yang bukan disebabkan oleh virus atau bakteria. Sains tidak mampu menyekat emosi kerisauan, ketakutan, kebencian, kemurungan yang semakin menular dalam kehidupan manusia masa kini dengan pantasnya.
Semua emosi yang negatif itu memberi impak langsung kepada fizikal manusia. Apa kata Wiliam James (pakar perubatan dan psikologi) tentang risau? Beliau berkata, “Tuhan boleh mengampuni segala dosa kita, tetapi sistem urat saraf kita tidak.” Penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit kerongkong malah lumpuh juga boleh disebabkan oleh kerisauan, ketakutan dan penyakit-penyakit hati (mazmumah) yang lain.
Tetapi dengan berdoa kita boleh mengubat hati dan fikiran daripada serangan sifat-sifat mazmumah yang juga menjadi punca kepada penyakit-penyakit fizikal. Plato pernah berkata, “Kesalahan ahli perubatan adalah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Dan kesalahan ini akhirnya diakui oleh pakar perubatan moden dengan mewujudkan satu “ubat” baru yang dikenali sebagai psikosomatik (gangguan fizikal manusia yang timbul akibat masalah psikologi, seperti rasa bimbang, takut dan lain-lain) – ubat yang merawat fikiran dan tubuh badan.
Salah Faham Tentang Doa
Itulah antara sebab mengapa Allah perintahkan kita berdoa. Kebaikan dan manfaat doa bukan untuk Allah tetapi untuk manusia. Jika orang yang sabar, perkasa, mulia, berilmu seperti para rasul dan nabi itu pun sentiasa berdoa, apatah lagi kita yang lemah, jahil dan “biasa-biasa” sahaja berbanding mereka.
Dengan hujah di atas, maka ternafilah anggapan negatif sesetengah pihak tentang doa. Ada pihak yang menganggap doa itu hanya satu pemberitahuan kita kepada Allah tentang apa yang mereka inginkan. Lalu apabila tidak ada apa yang diinginkan, tidak perlulah berdoa. Anggapan ternyata salah kerana doa itu bukan permohonan tetapi juga satu kewajipan. Maka berdoa itu merupakan lambang kehambaan kita kepada yang Maha Esa. Oleh sebab itu, doa perlu dilakukan setiap masa dan ketika kerana kita ialah hamba Allah selama-lamanya.
Selain itu doa juga bukan sesuatu yang pasif. Maka apabila sudah tiada usaha yang boleh dibuat lagi, menyerah dan pasrah sajalah kepada Allah. Anggapan sesetengah orang ini ternyata salah kerana doa itu sesuatu yang pro-aktif. Malah doa itu perlu dibuat sebelum kita melakukan sesuatu kerja, semasa dan selepasnya. Doa penting pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran sesuatu tindakan.
Islam tidak mahu umatnya berdoa setelah berasa lemah. Jangan berdoa dan berharap kepada Allah hanya setelah doktor mengakui ketidakupayaannya. Tetapi berdoalah kepada Allah sebelum kita menemui doktor untuk mengubat penyakit itu. Doa sesuatu yang bersifat proaktif, bukan jumud dan pasif. Lihatlah, dengan keberkatan doalah Nabi Musa mampu berdepan dengan Firaun dan ahli sihirnya. Dengan doa juga, Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala-berhala sembahan Namrud. Malah Nabi Muhammad berdoa ketika memulakan hijrah. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Surah Ibrahim 14: 39)
Oleh yang demikian tidak mungkin orang yang benar-benar berdoa untuk mendapat hidayah, rasa berat hati untuk menghadiri majlis-majlis tazkirah dan pengajian. Tidak mungkin orang yang memohon untuk mendapat rezeki yang halal, tetapi terus bermalas-malas tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Jadi, jagalah integriti dalam berdoa dengan menyejajarkan antara doa dengan usaha. Misalnya, janganlah setiap hari berdoa minta kesihatan tetapi terus merokok. Jika demikian, apakah kita tidak terasa yang kita sedang “mempermainkan” doa dan kepada siapa yang kita berdoa itu?
Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w. menjelang wafatnya.
Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang setia dan sentiasa mendengarnya!
Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”
Credit : Ustaz Pahrol